Sunday, October 24, 2010

melaka


 Blog kali ini saya ambil dari sebuah buku kecil bertajuk Panduan Pelancongan Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Perlancongan. Melaka salah satu tempat bersejarah yang terdapat di Malaysia.
Masuk saja mana-mana lorong di tengah-tengah bandar bersejarah ini, anda pasti menemui sesuatu yang mampu membuat anda terpegun. Bangunan lama di samping perdagangan dan pertukangan tradisional menobatkan lokasi ini sebagai antara destinasi yang paling banyak dikunjungi pelancong di Malaysia. Bangunan di sini mencerminkan pengaruh Portugis, Belanda dan British manakala pusat bandar rayanya pula amat sesuai untuk bersiar-siar dengan berjalan kaki.

Tempat bersejarahnya termasuk bangunan Stadthuys, Christ Church, Gereja St. Paul dan kota A’Famosa dibina oleh Portugis pada tahun 1511. Jalan Hang Jebat (Jonker’s Street) pula merupakan lubuk kedai barangan antik, galeri dan kedai cenderamata. Anda boleh mengelilingi Melaka dengan menaiki beca yang berwarna-warni untuk pengalaman yang berbeza. Ayer Kerch, 15km dari bandar raya Melaka, menawarkan tempat menarik seperti hutan rekreasi, zoo, taman buaya dan ‘Mini Malaysia.
Ujong Pasir ialah penempatan Portugis ke arah selatan Melaka di mana para pengunjung boleh menikmati datarannya yang menzahirkan kehidupan penuh semangat dan nikmati juadah makanan laut yang diberi sentuhan Portugis. Lawati tempat ini semasa musim perayaan seperti San Juan dan San Pedro yang disambut pada setiap bulan Jun.
Satu lagi tempat yang amat menarik ialah Perigi Hang Li Poh, yang mengambil nama sempena nama puteri Maharaja Ming yang dihantar untuk dijodohkan dengan Sultan Mansor Shah demi mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara. Hadiah daripada Sultan kepada pengantin perempuan baginda, iaitu Bukit Cina, dijadikan kediaman rasmi mereka. Perigi yang dibina oleh pengikut puteri Cina ini untuk kegunaan peribadinya, juga menjadi sumber air bagi pekan ini. Bukit Cina merangkumi dua bukit yang berganding. la dijadikan jirat yang menempatkan lebih 12,000 kubur, ada antaranya yang wujud sejak zaman dinasti Ming lagi.
Melaka termasyur sebagai bandar muzium, Muzium Memorial Kemerdekaan
menempatkan dokumen berkaitan dengan peralihan pemerintahan negara ini dari zaman penjajahan Malaya ke zaman Malaysia.

No comments:

Post a Comment